Blogger Widgets
Jika Anda mempunyai artikel yang ingin dipaparkan di sini beserta dengan nama anda, sila klik button "Share your article/contact us" di bawah. Terima kasih atas perkongsian artikel. Artikel dari anda amat dialu-alukan..

Followers

Follow my status update (Dakwah kerana Allah)

Anda sakit? Ramai yang bergantung pada ubat kimia sehingga merosakkan buah pinggang.. Mengapa tidak dengan herba?? Lawati website perubatan jawi dan thibbun nabawi untuk mendapatkan rawatan tentang penyakit anda 100% tanpa bahan kimia.

Wednesday, 21 March 2012

Apakah Alternatif Jika Ketiadaan Air Dan Debu Tanah Untuk Berwuduk

Dalam satu-satu suasana yang amat terpencil seseorang itu mungkin menghadapi krisis ketiadaan air dan ketiadaan debu tanah untuk berwudhu' atau bertayamum padahal hak kewajipan solat masih belum ditunaikan. Musafir masa kini di atas pesawat udara yang terbang selama berjam-jam lamanya tidak memungkinkan seseorang itu singgah bagi mencari bekalan air atau penggunaan debu tanah. Telahpun diterangkan di atas bahawa air itu tidaklah dapat digunakan sebagai agen bertayamum sebagaimana debu itu tidaklah dapat digunakan sebagai agen berwudhu.
Dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar, disertakan satu pengecualian yang khas dalam suasana tertekan bagi seseorang yang menghadapi krisis ketiadaan air dan debu tanah, iaitu tetap mendirikan solat secara biasa dalam keadaan berhadath kecil. Dalam ertikata lain seseorang itu tetap mendirikan solatnya tanpa berwudhu' atau bertayamum. Akan tetapi kebolehan ini bukanlah merupakan suatu ijma' di kalangan para ahli fiqh. Sebahagian dari mereka berpendapat solat seperti ini adalah tidak sah dan perlu diulangi semula apabila bertemu dengan sumber air atau debu tanah. Walaubagaimanapun di kalangan ulama Mazhab Hanbali, sebahagian dari ulama Shafie dan kebanyakan tokoh fiqh mutakhir, mereka berpendapat bahawa seseorang itu boleh bersolat seperti biasa dan tidak perlu mengulangi solat tersebut. Hujah-hujah yang dikemukan oleh mereka yang membolehkannya adalah seperti berikut:

Pertama Kejadian yang pernah berlaku di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Hayatilah hadith berikut:
Urwah ibnu Zubair radiallahu-anhu berkata: Bahawasanya A'isyah radiallahu-anha pernah meminjam sebentuk kalung dari Asma binti Abu Bakar radiallahu-anha lalu kalung itu hilang di perjalanan. Maka Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menyuruh beberapa orang mencari dan akhirnya mereka menemuinya kembali. Di dalam mereka mencari kalung itu masuklah waktu solat. Oleh kerana di ketika itu tiada air maka merekapun solat tanpa berwudhu'. Sekembalinya bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mereka menerangkan hal tersebut. Maka diketika itu turunlah ayat (mensyari'atkan) tayamum. [1]
            Hadith di atas menerangkan bahawa beberapa orang sahabat telah mendirikan solat tanpa berwudhu' dan apabila dikhabarkan perbuatan mereka itu kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, beliau mendiamkannya padahal seandainya solat mereka itu adalah tidak sah, sudah pasti akan diperintahkan pengulangannya tanpa berlengah-lengah lagi. Hadith di atas dijadikan dalil bahawa boleh mendirikan solat tanpa wudhu' dalam suasana yang terpaksa.
Walaupun kebolehan kisah kejadian di atas telah diganti dengan turunnya ayat surah al-Maidah 05, ayat 06 yang mensyari'atkan tayamum sebagai alternatif wudhu' , ianya tetap berhubung-laku dan boleh menjadi aktif semula jikalau seseorang itu secara tidak sengaja telah terjatuh balik ke dalam suasana yang seumpama. [2]
Kedua Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam  telah bersabda: Apabila aku mencegah kamu dari suatu pekerjaan maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu suruhan maka hendaklah kamu lakukannya sedaya-upaya. [3] Daripada hadith di atas Nabi sallallahu-alaihi-wasallam memerintahkan  seseorang itu agar tetap melakukan setiap suruhan agama itu semampu dan sedaya mungkin. Kelemahan atau ketidak-upayaan seseorang itu tidaklah bererti kelonggaran bagi dia meninggalkan sesuatu amalan itu 100% kesemuanya, akan tetapi hendaklah dia tetap melakukannya walau dengan segala kekurangan yang sedia ada. Ini juga adalah selari dengan firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam surah at-Taghabun 64, ayat 16 yang bermaksud: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.
Ketiga Solat adalah satu perintah fardhu yang merupakan asas keislaman seseorang itu yang tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan atau alasan sekalipun manakala wudhu' adalah satu perintah wajib sebagai syarat mensahkan solat. Dalam ertikata lain, solat adalah syarat sah Islam manakala wudhu' adalah syarat sah solat. Walaupun antara keduanya nampaknya saling berkaitan tetapi pada zahirnya ia adalah tidak.
            Kewajipan wudhu' (atau tayamum) boleh tergugur dalam suasana kesukaran sama seperti gugurnya kewajipan menghadap qiblat apabila tidak berupaya menentukan arahnya atau sama seperti gugurnya kewajipan menutup aurat apabila angin yang bertiup mendedahkannya tanpa kawalan orang yang sedang solat itu. Akan tetapi solat pula adalah satu perintah agama yang tidak diberikan kelonggaran untuk ditinggalkan atau ditunda kecuali apabila seseorang itu menghadapi suasana bahaya yang mengancam keselamatan nyawa atau anggota badannya (Life and Death situation). Justeru itu solat tetap wajib didirikan sekalipun ada di antara syarat-syaratnya tidak dapat dipenuhi atau disempurnakan.
            Tiga hujah di atas menjadi dalil bagi pihak yang berpendapat bahawa solat tanpa wudhu' atau tayamum dalam suasana terpaksa adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi lagi.[4] Walaubagaimanapun sekali lagi diulangi bahawa kemaafan hukum ini adalah bagi seseorang yang benar-benar tidak dapat berwudhu' atau bertayamum setelah diusahakan semampu mungkin. Kemaafan hukum agama sebegini hanyalah bagi kesukaran yang benar lagi tulen, bukan kerana kemalasan atau perbuatan meremehkan perintah agama.
Kesimpulan
1.      Apabila seseorang itu benar-benar tidak dapat menemui sumber air atau debu tanah untuk berwudhu' atau bertayamum maka dia tetap wajib mendirikan solat-solatnya seperti biasa.
2.      Solat dalam suasana demikian adalah sah dan tidak perlu diulangi.

RUJUKAN :
 [1]               Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no; 0336.
[2]               Lihat kitab-kitab Usul Fiqh atas perbincangan Nasakh / Mansukh dan hal-hal berkaitan, antaranya: Imam Ibnu Hazm - al-Ihkam, 4/67 ; Imam as-Suyuti - al-Itqan, 2/21 ; Prof. Abu Zahrah - Usul Fiqh, no: 188-190 ; Prof Yusuf Qardhawi - as-Syari'at al-Islam ; Prof Hasbi as-Shiddieqie - Ilmu-ilmu al-Qur'an, 149-158. Bagi penjelasan yang mendalam dengan bahasa yang mudah, lihat buku - Membumikan al-Qur'an: Fungsi dan Peranan Wahyu dalam Kehidupan Masyarakat, ms 143-150oleh Dr. M. Quraish Shihab.
[3]               Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Syarh Matn al-Arba'in an-Nawawi - no: 09.
[4]         Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar 1/601-603 ; Prof. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 1/316-319 ; Prof  Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/426-430 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 1/176.



Dapatkan info agama di facebook anda. Follow me (Niat kerana Allah)

No comments:

Post a Comment

kongsi artikel anda di sini dengan cara mudah dan cepat

Thank you if you like!!