Blogger Widgets
Jika Anda mempunyai artikel yang ingin dipaparkan di sini beserta dengan nama anda, sila klik button "Share your article/contact us" di bawah. Terima kasih atas perkongsian artikel. Artikel dari anda amat dialu-alukan..

Followers

Follow my status update (Dakwah kerana Allah)

Anda sakit? Ramai yang bergantung pada ubat kimia sehingga merosakkan buah pinggang.. Mengapa tidak dengan herba?? Lawati website perubatan jawi dan thibbun nabawi untuk mendapatkan rawatan tentang penyakit anda 100% tanpa bahan kimia.

Monday, 16 April 2012

Haram Melakukan Ghibah

            Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat lisan kepada manusia. Dengan lisan mereka berkomunikasi, dengan lisan mereka berkata-kata, dengan lisan juga manusia boleh mengubah seluruh dunia dan seisinya. Tetapi, adakalanya  mereka terlupa adanya batas-batas yang perlu dijaga dan diawasi. Di sana sini kedengaran gosip dan berita panas dijaja baik di majalah-majalah, akhbar-akhbar, di pejabat, di rumah dan di mana sahaja. Keburukan orang menjadi ‘santapan’ dan ‘hidangan’ sekiranya ada perbualan di antara 2 orang atau lebih, kecuali orang-orang yang dirahmati dan dilindungi oleh Allah dari dosa ini. Inilah yang dinamakan ghibah atau mengumpat. Kita tahu ia dilarang oleh Allah dan RasulNya, tapi sering sahaja kita membolehkan dan menghalalkannya dengan pelbagai alasan; sebagai contoh : ‘Aku bukanlah nak mengata ke apa, tapi benda ni memang betul’, ada juga yang memulakanghibah dengan tasmiyah (bismillahirrahmanirrahim), ada juga yang berkata, ‘ala kita bukan cerita pada sesiapa, kita-kita je sama-sama ahli keluarga’, dan lain-lain. Adakah alasan-alasan ini boleh diterima?
          Artikel ini, insya Allah, akan mengulas beberapa perkara mengenai ghibah; pengertian ghibah, dalil-dalil pengharamannya dari al-Quran dan Sunnah, beberapa keadaan yang dibenarkan padanya ghibah, cara untuk merawat penyakit ghibah, bagaimana untuk menebus ghibah serta perintah untuk menjaga lisan.
Pengertian ghibah
          Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam telah menafsirkan maknaghibah dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ­radhiyallahu ‘anhu:
«أتدرون ما الغيبة ؟  قالوا : الله ورسوله أعلم، قال : ذكرك أخاك بما يكره. قيل : أفرأيت إن كان في أخي ما أقول ؟ قال : إن كان فيه ما تقول فقد اغتبته وإن لم يكن فيه فقد بهته».
«Adakah kamu tahu apa itu ghibah?”, mereka berkata : Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda berkata : “Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya“. Dikatakan : Beritahukanlah kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan? Baginda berkata : “Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya». (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ahmad dan Ibn Hibban)           
          Imam al-Ghazali rahimahullah (meninggal 510H) mengatakan ghibah itu bermaksud : ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, samada kekurangannya pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya hatta pakaiannya, rumahnya atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)
     
     Ghibah boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain. Maka dengan ini, setiap perkara yang tidak disukai oleh seseorang sekiranya disebut tanpa kehadirannya, walau sekecil mana pun perkara itu, adalah dikira sebagai ghibah atau mengumpat. Oleh itu, berhati-hatilah! Dengan hanya satu kalimah atau satu isyarat sahaja kita boleh terjerumus dalam dosa mengumpat.
Dalil pengharaman ghibah

1) Al-Quran :
﴿ ولا يغتب بعضكم بعضا أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه واتقوا الله إن الله تواب رحيم 
Maksudnya : ‘..dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat : 12)
          Ayat ini merupakan satu-satunya ayat larangan ghibah secara langsung dan di dalamnya terdapat larangan yang keras apabila Allah s.w.t menyamakanghibah dengan orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Berkata Ibn Kathir rahimahullah (meninggal 774H) mengenai tafsir ayat ini : ‘sebagaimana secara fitrahnya kamu benci memakan daging saudara kamu sendiri, maka bencilah juga ghibah itu sebagaimana yang ditetapkan secara syara”. (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir ‘an al-Hafizh Ibn Kathir; Mukhtasar Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/358, Mansurah : Dar al-Wafa’ 2005)
          Bayangkan, berapa ramai di antara kita yang menyedari hakikat perumpamaan yang telah Allah berikan di dalam al-Quran tentang orang yang mengumpat. Namun sedikit dari kita yang mengambil peringatan. Maka tinggallah al-Quran itu sebuah perhiasan dan sekadar dibaca tanpa beramal dengannya sebagaimana layaknya ia untuk menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.
2) Sunnah :
          Terdapat banyak hadis yang melarang ghibah, antaranya adalah hadis yang disebutkan di atas dan kami akan sebutkan lagi sebahagian daripadanya.
وعن عائشة رضي الله عنها قالت قلت للنبي صلى الله عليه وسلم : حسبك من صفية كذا وكذا . قال بعض الرواة : تعني قصيرة فقال : [ لقد قلت كلمة لو مزجت بماء البحر لمزجته ] قالت : وحكيت له إنسانا فقال : [ ما أحب أني حكيت إنسانا وإن لي كذا وكذا ].
Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dia berkata : Aku berkata kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ahmad dan al-Baihaqi; berkata al-Tirmizi : ‘Ia adalah hadis hasan sahih‘; dinilai sahih oleh al-Albani)
          Cukuplah hadis ini bagi menerangkan betapa buruknya ghibah itu. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhahanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah radhiyallahu ‘anha itu rendah, maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya. Berkata al-Nawawirahimahullah (meninggal 676H) : ‘Makna : (tercampurlah ia) dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan ghibah itu. Hadis ini merupakan antara larangan yang paling keras mengenai ghibah, Allah berkata :   ﴿ وما ينطق عن الهوى إن هو إلا وحي يوحى ﴾ Maksudnya : [ Tiadalah ia berbicara menurut hawa nafsunya, ia tidak lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya ]. (Surah al-Najm : 3-4)’ (al-Nawawi, Riyadh al-Salihin, 523, Beirut : al-Maktab al-Islami 1998)
وعن أنس رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : [ لما عرج بي مررت بقوم لهم أظفار من نحاس يخمشون وجوههم وصدورهم فقلت : من هؤلاء يا جبريل ؟ قال : هؤلاء الذين يأكلون لحوم الناس ويقعون في أعراضهم ].
Diriwayatkan dari Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallamberkata : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril berkata : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia dan mengaibkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Daud; dinilai sahih oleh al-Albani)
          ‘Memakan daging manusia’ yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah mengumpat orang-orang Islam. (al-’Azim Abadi, ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 13/104, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi 2001).
عن أبي برزة الأسلمي قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : [ يا معشر من آمن بلسانه ولم يدخل الإيمان قلبه لا تغتابوا المسلمين ولا تتبعوا عوراتهم فإنه من اتبع عوراتهم يتبع الله عورته، ومن يتبع الله عورته يفضحه في بيته ].
Dari Abi Barzah al-Aslami, beliau berkata : Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallamberkata : “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya (tetapi) tidak masuk iman itu ke dalam hatinya! Janganlah mengumpat orang-orang Islam dan janganlah mencari-cari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari keaiban orang maka Allah akan mencari keaibannya, dan sesiapa yang dicari oleh Allah akan keaibannya maka Dia akan menyingkap keaibannya (hatta) di rumahnya sendiri.” (Riwayat Abu Daud; dinilai oleh al-Albani sebagaihasan sahih)
وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ] كل المسلم على المسلم حرام : دمه وعرضه وماله [.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam  berkata : "Setiap Muslim ke atas seorang Muslim adalah haram : darahnya, maruahnya dan hartanya." (Riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan bahawa haram bagi seorang Muslim itu untuk mengaibkan maruah seorang Muslim yang lain dan menceritakan keburukannya kepada orang lain. Antara hak seorang sahabat itu adalah tidak diceritakan keaibannya semasa kehadirannya atau ketiadaannya. Mereka yang mengaibkan sahabatnya maka ketahuilah bahawa dia telah melanggar hak seorang Muslim yang diharamkan ke atasnya.
Dalil haramnya mendengar ghibah
            Betapa indahnya Islam yang menjaga hak umatnya dari setiap sudut. Bukan sahaja ghibah itu dilarang, bahkan mendengarnya juga adalah haram. Hikmah larangan ini tidak lain adalah untuk menjaga maruah manusia danghibah tidak akan terhasil melainkan dengan komunikasi 2 hala ; pencerita dan pendengar. Al-Nawawi rahimahullah telah menyebutkan satu bab di dalam kitabRiyadh al-Salihin yang bertajuk : [ Bab pengharaman mendengar ghibah ; dan perintah bagi mereka yang mendengar ghibah yang haram untuk menghentikan atau mengingkarinya, jika dia tidak mampu atau tidak diterima pengingkarannya, maka hendaklah dia meninggalkan majlis jika dia mampu ]. Di bawah bab ini, al-Nawawi rahimahullah menyebut beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan larangan mendengar ghibah. Antaranya adalah seperti berikut :
﴿ وإذا سمعوا اللغو أعرضوا عنه ﴾
Maksudnya : Apabila mereka mendengar percakapan kosong (perkataan yang tidak berfaedah) , mereka berpaling daripadanya. (Surah al-Qasas : 55)
            Al-laghwu dalam ayat di atas bermaksud perkataan yang tidak berfaedah dan buruk, dan ghibah adalah seburuk-buruk perkataan.
﴿ إن السمع والبصر والفؤاد كل أولئك كان عنه مسئولا ﴾
Maksudnya : Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, masing-masing akan disoal (dipertanggungjawabkan). (Surah al-Isra’ : 36)
عن أبي الدرداء رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : [ من رد عن عرض أخيه رد الله عن وجهه النار يوم القيامة ].
Dari Abi Darda’ radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, baginda berkata : “Sesiapa yang melarang seseorang dari (mengaibkan) maruah saudaranya, maka Allah akan melarang (menahan) mukanya dari api neraka pada hari kiamat kelak.” (Riwayat al-Tirmizi ; al-Tirmizi berkata : ‘Ini hadis hasan‘ ; dinilai sahih oleh al-Albani)
Sebuah lagi hadis yang dinaqalkan oleh al-Munziri dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib (3/1044, Riyadh : Maktabah al-Ma’arif 2004) :
وعن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال : كنا عند النبي صلى الله عليه وسلم، فقام رجل، فوقع فيه رجل من بعده، فقال النبي صلى الله عليه وسلم : [ تخلل! ] فقال : ومما أتخلل؟ ما أكلت لحما! قال : [ إنك أكلت لحم أخيك ].
Dari Abdullah ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (Riwayat Abu Bakar ibn Abi Syaibah dan al-Thabarani ; dinilai oleh al-Albani sebagai sahih li ghairihi)
            Pada hemat penulis, hadis ini menunjukkan kewajipan mencegah seseorang daripada mengumpat seseorang dan pengharaman mendengarghibah.
            Banyak lagi hadis-hadis mengenai pengharaman ghibah ini, jika berkesempatan maka rujuklah kitab Riyadh al-Salihin, al-Targhib wa al-Tarhib, Ihya’ ‘Ulum al-Din dan lain-lain.
Keadaan yang dibenarkan padanya ghibah
            Berkata Ibn Kathir rahimahullah bahawa ghibah adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah(kebaikan) pada ghibah itu dan maslahah ghibah itu lebih kuat daripadamafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)
Terdapat beberapa keadaan yang diizinkan untuk kita menyebut keburukan orang lain, dan ia adalah tujuan syara’ yang sahih, yang mana tidak mungkin suatu maslahah itu tercapai melainkan dengan ghibah. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah (meninggal 689H) rahimahumallah menyebut 6 keadaan :
Pertama : Membuat aduan mengenai kezaliman. Dibolehkan bagi seorang yang dizalimi untuk mengadu kepada pemerintah atau qadhi atau selain daripada mereka yang mempunyai kuasa atau kemampuan untuk mengadili penzalim tersebut.
Kedua : Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat. Dibolehkan menyebut keburukan orang itu (perbuatannya melakukan mungkar) kepada mereka yang diharapkan untuk mengubahnya, jika tidak dimaksudkan untuk mengubah, maka haram baginya menyebut keburukan orang itu.
Ketiga : Meminta fatwa. Sebagai contoh : ‘Suami saya telah menzalimi dan memukul saya, maka apakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?’ Yang lebih berhati-hati dan lebih baik adalah tidak menyebut secara khusus ketika bertanya dan hanya menyebut secara umum sahaja. Tetapi diizinkan untuk menyebut secara khusus sebagaimana Hind bertanya kepada Rasulullahsallallahu ‘alayhi wa sallam mengenai suaminya yang bakhil, Abu Sufyan, adakah boleh dia mengambil apa yang mencukupi baginya dan anaknya sedangkan dia tidak mengetahuinya, dan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tidak melarang Hind menyebut secara khusus nama  suaminya di hadapannya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Keempat : Peringatan buat kaum Muslimin. Sebagai contoh :
1)      Rundingan dalam urusan untuk mengahwinkan orang, atau memilih orang untuk memegang amanah dan lain-lain, wajib bagi orang yang mengetahui untuk memberitahu keburukan orang yang dibincangkan (jika boleh menyebabkan orang itu menanggung padah dalam urusannya nanti) dengan niat untuk menasihati.
2)      Jika dilihat seorang penuntut ilmu itu menuntut ilmu dari seorang ahli bid’ah atau fasiq, maka hendaklah diberitahu keadaan orang itu bahawa dia adalah ahli bid’ah atau fasiq dengan niat untuk menasihati dan jauh daripada perasaan hasad.
3)      Menceritakan kecacatan perawi, ia dibolehkan secara ijma’ bahkan wajib.
Kelima : Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta, si pekak, si juling dan lain-lain dan dia redha dengannya. Jika boleh digelar dengan selain daripada gelaran-gelaran ini adalah lebih baik.
Keenam : Dibolehkan ghibah jika dia memang melakukan dosa secara terang-terangan. Sebagai contoh, meminum arak secara terang-terangan, mengambil harta secara zalim dan lain-lain.
            Demikian disebutkan 6 perkara yang dibenarkan ghibah padanya (rujukan : al-Nawawi, Riyadh al-Salihin, 525-527 & Ibn Qudamah, Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 216-217, Beirut : al-Maktab al-Islami 2000). Oleh itu, hendaklah setiap Muslim berwaspada dengan dosa ghibah ini dan tidak sewenang-wenangnya menyebut keburukan orang melainkan jika perlu sahaja seperti yang dinyatakan di atas. Dan janganlah pula apabila hendak mula mengumpat, seseorang itu mendakwa bahawa keadaannya itu membenarkan dia untuk menyebut keburukan orang seperti keadaan-keadaan yang disebutkan di awal penulisan walhal ia tidak bertepatan pun dengan keadaan-keadaan yang disebutkan oleh al-Nawawi dan Ibn Qudamah di atas.
Cara untuk merawat penyakit ghibah
            Hendaklah menghadirkan dalam diri bahawasanya perbuatan mengumpat itu boleh mengundang kemurkaan dan kemarahan Allah. Kita biasa mendengar bahawa jika seseorang itu mengumpat maka kebaikannya akan dipindahkan kepada orang yang diumpatnya itu. Jika tiada kebaikan padanya, maka keburukan orang yang diumpat itu akan dipindah kepada orang yang mengumpatnya itu. Ini dinaqalkan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya, tetapi penulis tidak menjumpai apa-apa hadis yang menerangkan hal ini, Allahu’alam.
            Kita juga hendaklah selalu bermuhasabah dan menilai diri sendiri. Siapalah kita untuk menyebut keburukan orang sedangkan diri sendiri penuh dengan kekurangan. Jika disingkapkan kekurangan ini oleh Allah, maka tiada apa lagi yang tinggal bagi kita. Hendaklah selalu menyibukkan diri dengan memperbaiki diri sendiri dan hendaklah merasa malu untuk menyebut keburukan orang sedangkan diri sendiri yang banyak keaiban. Ingatlah balasan-balasan bagi orang yang mengumpat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis di atas. Mereka yang selalu mencari keaiban orang, maka Allah akan singkap keaiban mereka walaupun mereka berada  di dalam rumah mereka sendiri.
            Jika merasa diri tiada keaiban, hendaklah selalu bersyukur dengan nikmat Allah dan jangan mencacatkan dan mengotorkan diri sendiri dengan keaiban yang paling buruk iaitu mengumpat orang lain, sebagaimana kita juga tidak suka orang menyebut keburukan kita, begitu juga orang lain tidak suka jika disebut keaiban mereka.
            Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa sebab-sebab yang membawa kepada ghibah dan rawatlah sebab yang membawa kepada ghibah itu. Apabila hilang punca, maka hilanglah sebab untuk ghibah. (rujukan : Ibn Qudamah,Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 216)
Bagaimana untuk menebus ghibah?
Berkata Ibn Qudamah mengenai kaffarah ghibah (cara untuk menebus ghibah), orang yang mengumpat telah melakukan 2 jenayah. Pertama, dia telah melanggar hak Allah kerana melakukan perbuatan yang dilarang. Cara menebusnya ialah dengan penyesalan dan taubat. Kedua, dia telah melanggar hak makhluk dengan mengaibkan maruahnya. Cara menebusnya, jika umpatan itu sampai ke pengetahuan orang tersebut, hendaklah dia berjumpa dengannya dan meminta dia meng’halal’kannya, memohon maaf serta menzahirkan penyesalan di atas perbuatannya.  Jika tidak sampai, maka hendaklah memohon Allah mengampun dosanya. Berkata Mujahid : ‘Kaffarah ghibah ialah engkau memujinya dan mendoakan kebaikan baginya, begitu juga jika dia telah mati.’ (Ibn Qudamah, Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 218)
Perintah menjaga lisan
            Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam yang memerintah kita supaya menjaga lisan. Antaranya :

﴿ ما يلفظ من قول إلا لديه رقيب عتيد ﴾
Maksudnya : Tiadalah perkataan yang dikeluarkan seseorang, melainkan di sisinya ada (malaikat) pengawas yang hadir. (Surah Qaf : 18)
            Berkata al-Sa’di rahimahullah : ‘[ Tiadalah perkataan yang dikeluarkan seseorang ] samada baik mahupun buruk, [ melainkan di sisinya ada (malaikat) pengawas yang hadir ] yang sentiasa mengawasinya (memerhati), sentiasa ada pada setiap keadaannya.’ (Al-Sa’di, al-Tafsir al-Sa’di, 950, Riyadh : Dar al-Salam 2002)
            Setiap perkataan yang keluar dari mulut kita akan direkod dan dicatat oleh ‘pengawas’ yang disebutkan dalam ayat di atas. Ayat ini menunjukkan perintah menjaga lisan dan setiap perkataan yang dilafazkan akan dipertanggungjawabkan kelak di akhirat nanti.
وعن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : [ من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت ].
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, baginda berkata : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah perkara yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berkata al-Nawawi rahimahullah : ‘Hadith ini secara terang menunjukkan bahawa hendaklah seseorang tidak berkata-kata melainkan dengan perkataan yang baik, iaitu yang jelas maslahahnya (kebaikan), dan apabila diragui akan kebaikan perkataannya itu, maka janganlah dia berkata-kata.’ (Al-Nawawi,Riyadh al-Salihin, 520)
وعن سفيان بن عبد الله رضي الله عنه قال قلت : يا رسول الله حدثني بأمر أعتصم به قال : [ قل : ربي الله ثم استقم ] قلت : يا رسول الله ما أخوف ما تخاف علي ؟ فأخذ بلسان نفسه ثم قال : [ هذا ].
Dari Sufyan bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata : ‘Aku berkata : Wahai Rasulullah, katakan padaku suatu perkara yang aku (boleh) berpegang teguh padanya. Baginda berkata : “Katakan : ‘Tuhanku (ialah) Allah’ kemudian tetaplah (padanya).” Aku berkata : Wahai Rasulullah, apakah perkara yang paling engkau takutkan ke atasku? Kemudian baginda mengambil lidahnya sendiri kemudian berkata : “Ini.” (Riwayat al-Tirmizi ; al-Tirmizi berkata : ‘Ini hadis hasan sahih‘ ; dinilai sahih oleh al-Albani)
وعن ابن عمر رضي الله عنهما قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : [ لا تكثروا الكلام بغير ذكر الله فإن كثرة الكلام بغير ذكر الله تعالى قسوة للقلب وإن أبعد الناس من الله القلب القاسي ].
Dari Ibn Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata : Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Janganlah memperbanyak kata-kata selain daripada mengingati Allah, kerana sesungguhnya banyak berkata-kata selain daripada mengingati Allah itu mengeraskan hati, dan (hati) manusia yang paling jauh dari Allah ialah hati yang keras.’ (Riwayat al-Tirmizi ; dinilai dha’if oleh al-Albani)
            Disebutkan di dalam syarah hadis ini bahawa ia menunjukkan adanya beberapa perkataan yang dibolehkan iaitulah apa yang bermanfaat bagi seseorang. Kata-kata yang diucapkan selain daripada mengingati Allah akan menyebabkan hati menjadi keras ; tidak mendengar perkataan yang haq, cenderung untuk bercampur-gaul dengan makhluk, tidak takut kepada Allah, hati tidak khusyuk serta lalai dari mengingati hari akhirat. (rujukan : al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 7/78, Beirut : Dar al-Kutub al-’Ilmiyah 2001)
 عن أم حبيبة زوج النبي صلى الله عليه وسلم : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : [ كل كلام ابن آدم عليه لا له إلا أمر بمعروف أونهي عن منكر أو ذكر الله ].
Dari Ummu Habibah, isteri Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, dari Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, baginda berkata : “Setiap perkataan anak Adam memudaratkan ia dan tidak bermanfaat kecuali menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran atau mengingati Allah.” (Riwayat al-Tirmizi ; dinilai dha’if oleh al-Albani)
            Terdapat banyak lagi hadis mengenai perintah menjaga lisan dan setiap Muslim seharusnya mengambil berat dan sentiasa menjaga lisannya dari digunakan di tempat yang tidak sepatutnya. Tidak seharusnya lisan dijadikan senjata untuk menyakiti orang lain kerana itu tidak menunjukkan akhlak yang baik bagi seorang Muslim, ini bersesuaian dengan hadis Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam :
عن أبي موسى رضي الله عنه قال قلت : يا رسول الله أي المسلمين أفضل ؟ قال : [ من سلم المسلمون من لسانه ويده ].
Dari Abu Musa radhiyallahu ‘anhu, dia berkata : ‘Aku berkata : Wahai Rasulullah, Siapakah Muslim yang lebih baik? Baginda berkata : “(Orang yang) selamat Muslim yang lain dari lidahnya dan tangannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
            Kita memohon kepada Allah agar Dia memberi kita petunjuk dan menyelamatkan kita dari dosa ghibah. Penulis berharap artikel ini menjadi peringatan buat diri yang sentiasa lupa. Ghibah bukanlah satu perkara yang baru, bukan juga perkara yang menjadi perselisihan ulama’ akan pengharamannya, malah ia telah disebut sejak 1400 tahun yang lalu dan ia adalah haram tanpa ada sebarang perselisihan, pengharamannya thabit dari al-Quran, Sunnah serta ijma’ seluruh umat Islam. Semoga kita sentiasa beringat dengan dosa ghibah dan berusaha menjauhkan diri dari menyebut-nyebut keburukan orang. Kita memohon keampunan dari Allah dan berlindung denganNya dari kejahatan syaitan serta kejahatan diri kita sendiri.



Dapatkan info agama di facebook anda. Follow me (Niat kerana Allah)

No comments:

Post a Comment

kongsi artikel anda di sini dengan cara mudah dan cepat

Thank you if you like!!