Blogger Widgets
Jika Anda mempunyai artikel yang ingin dipaparkan di sini beserta dengan nama anda, sila klik button "Share your article/contact us" di bawah. Terima kasih atas perkongsian artikel. Artikel dari anda amat dialu-alukan..

Followers

Follow my status update (Dakwah kerana Allah)

Anda sakit? Ramai yang bergantung pada ubat kimia sehingga merosakkan buah pinggang.. Mengapa tidak dengan herba?? Lawati website perubatan jawi dan thibbun nabawi untuk mendapatkan rawatan tentang penyakit anda 100% tanpa bahan kimia.

Thursday, 3 May 2012

Qiraat Rasulullah saw

SEMASA berkunjung menziarahi seorang guru al-Quran yang aktif mengajar riwayat Warsy kepada masyarakat, saya ditanya dengan soalan bagaimanakah bentuk bacaan al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW.
Apakah Rasulullah membaca al-Quran sama dengan bacaan kita pada hari ini iaitu mengikut riwayat Hafs daripada Imam Asim atau Rasulullah membaca seperti riwayat warsy, riwayat Qalun, Ibnu Kathur, al-Duri, Imam Hamzah atau qiraat lain.

Semasa menjamah kuih-muih yang dihidangkan, fikiran saya mula mencari jawapan yang sesuai dan memuaskan hati seorang guru al-Quran yang mahir dengan riwayat hafs dan warsy.
Saya cuba mencuit hati guru al-Quran dengan menyatakan soalan yang diutarakan amat sesuai untuk satu sesi ceramah.

Perkara utama yang perlu difahami bersama ialah semua Qurra Tujuh atau Qurra Sepuluh tidak mempunyai satu idea atau buah fikiran untuk mencipta cara membaca al-Quran.
Semua qiraat yang wujud pada hari ini yang diriwayatkan oleh Tujuh Qurra atau Sepuluh Qurra adalah bersumber daripada Rasulullah dan ia merupakan wahyu yang diturun daripada Allah SWT kepada Rasulullah.
Sepuluh Qurra masyhur di kalangan umat Islam kerana sumbangan besar mereka yang hidup bersama Quran, mempunyai ilmu yang luas berkaitan bacaan Quran, mengajar Quran kepada masyarakat setempat dengan tempoh yang lama.

Umpamanya, Imam Nafei, beliau adalah guru Quran di Madinah al-Munawwarah selama 60 tahun dan dihormati di kalangan penduduk Madinah termasuklah Imam Malik.

Bagi menjelaskan lagi persoalan yang diutarakan, perlu meneliti sanad setiap Qurra yang kesemuanya berakhir dengan Rasulullah.

Di kalangan Qurra Tujuh atau Qurra Sepuluh, riwayat yang paling luas pengamalannya di dunia Islam ialah riwayat Hafs. Perkara ini berlaku kerana sanad riwayat hafs berakhir dengan lima orang sahabat Rasulullah yang membaca di hadapan baginda.
Imam Hafs belajar al-Quran dengan Imam 'Asim yang bertalaqqi dengan Abdul Rahman al-Sulami yang merupakan murid kepada lima orang sahabat besar baginda.
Mereka ialah Zaid Ibnu Thabit, Abdullah Ibnu Ma'ud, Muaz Ibnu Jabal, Othman Ibnu Affan dan Ali Ibnu Abi Talib ra.

Berguru dengan Zaid
Abdul Rahman al-Sulami pernah menyatakan bahawa beliau talaqqi al-Quran daripada gurunya Uthman Ibnu Affan. Pada masa itu Uthman adalah seorang pemerintah.
Uthman berkata: "Kepadanya sesungguhnya aku sibuk dengan urusan pemerintahan. Justeru pergilah kamu kepada Zaid ibnu Thabit dan sempurnakan bacaan di hadapannya. Sesungguhnya bacaanku dan bacaan Zaid adalah sama dan tiada perbezaan."

Lantas Abdul Rahman al-Sulami mendapatkan Zaid dan membaca seluruh al-Quran. Pernah satu ketika, Abdul Rahman berjumpa Ali Ibnu Abi Talib dan bertanya tentangnya lalu diceritakan kisah bacaan Quraannya di hadapan Zaid ibnu Thabit.

Ali Ibnu Abi Talib berkata: "Istiqamahlah kamu dengan Zaid Ibnu Thabit. Abdul Rahman al-Sulami mendampingi dan menuntut ilmu Quran daripada Zaid Ibnu Thabit selama 13 tahun.

Akhirnya, beliau berkata: "Baru aku mengerti betapa hebatnya Zaid Ibnu Thabit dan kuat dabitnya tentang al-Quran dan rahsia pengakuan Uthman Ibnu Affan yang diberikan kepada Zaid Ibnu Thabit ra. selama ini."
Bagi menjelaskan lagi bentuk bacaan Rasulullah, Abu Abdul Rahman al-Sulami yang merupakan guru kepada Imam Asim, menyatakan bahawa bacaan al-Quran Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Uthman, Zaid Ibnu Thabit, golongan Muhajirin dan Ansar adalah sama sahaja.

Mereka membaca dengan bacaan yang umum dan ia merupakan bacaan yang dibaca oleh Rasulullah di hadapan Jibril sebanyak dua kali pada tahun Rasulullah meninggal dunia.
Zaid menyaksikan bacaan terakhir tersebut dan beliau mengajar umat manusia bacaan tersebut sehinggalah beliau meninggal dunia.

Bacaan tersebut jugalah dipegang oleh Abu Bakar al-Siddiq dalam pengumpulan pertama al-Quran. Dan semasa Uthman ra, beliau telah mentauliah Zaid di kalangan penulis al-Quran.
Berbalik kepada riwayat Hafs yang dibaca pada ketika ini, ia merupakan bacaan yang paling mudah jika dibandingkan dengan qiraat lain. Khilaf qiraatnya tidak banyak seumpama riwayat Warsy, Qiraat Hamzah dan lain-lain.
Kesimpulannya, semua qiraat mutawatirah yang wujud pada hari ini adalah yang diajar oleh Rasulullah kepada para sahabat.

Bagi menguatkan lagi kesahihan qiraat untuk diamalkan oleh umat Islam, para ulama telah meletakkan piawaian atau garis panduan yang dinamakan sebagai rukun qiraat.
Jika sesuatu qiraat menepati tiga rukun qiraat, bermaksud ia adalah sahih dan mutawatirah. Pertama; kesahihan sanad, kedua; menepati bahasa Arab dan ketiga; menetapi mushaf Uthmani.
Justeru semua Qiraat Tujuh menepati rukun qiraat dan ia bersumber daripada Rasulullah. Namun riwayat Hafs mendapat tempat di kalangan umat Islam daripada dahulu lagi kerana sanadnya bersambung dengan lima sahabat ra kepada Rasulullah.



Dapatkan info agama di facebook anda. Follow me (Niat kerana Allah)

No comments:

Post a Comment

kongsi artikel anda di sini dengan cara mudah dan cepat

Thank you if you like!!