Blogger Widgets
Jika Anda mempunyai artikel yang ingin dipaparkan di sini beserta dengan nama anda, sila klik button "Share your article/contact us" di bawah. Terima kasih atas perkongsian artikel. Artikel dari anda amat dialu-alukan..

Followers

Follow my status update (Dakwah kerana Allah)

Anda sakit? Ramai yang bergantung pada ubat kimia sehingga merosakkan buah pinggang.. Mengapa tidak dengan herba?? Lawati website perubatan jawi dan thibbun nabawi untuk mendapatkan rawatan tentang penyakit anda 100% tanpa bahan kimia.

Tuesday, 23 October 2012

Mimpi


Artikel kali ini ingin mengupas permasalahan tentang mimpi yang ada kalanyamempengaruhi kehidupan kita hari ini. Mengikut kamus Dewan, mimpi bermaksud sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur seseorang. Mimpi biasanya berkaitan dengan apa yang sedang menjadi fikiran seseorang. Kadang-kadang apa yang pernah dilihat, dialami dan dirasai oleh seseorang itu sering kali melintas dalam mimpinya. Hakikatnya, mimpi adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sekiranya mimpi itu datang dari Allah Taala ia disebut sebagai ‘al-rukyah’ Kadang-kadang ada juga yang datang dari iblis dan syaitan yang disebut sebagai ‘al-hulm’.

Terdapat perbahasan antara ulama mengenai takwil mimpi. Ada mimpi yang boleh ditafsirkan dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun tidak semua orang mampu mentafsirkan kebenaran mimpi tersebut. Ramai ulama yang ingin mendalami masalah takwil atau tafsir mimpi tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana susahnya ilmu tersebut. Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: ‘Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.’ 


Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi baginda adalah wahyu dari Allah. Sedangkan mimpi manusia biasa merupakan berita yang disebarkan oleh iblis dan syaitan. Untuk memahami persoalan mimpi ini, bolehlah kita bahagikan mimpi kepada tiga jenis:

1. Mimpi yang baik. 

Mimpi yang baik disebut juga sebagai ‘busyra’ iaitu khabar gembira dari Allah SWT Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedang mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari)
Dalam sebuah hadis yang lain dari Abu Said al-Khudri r.a., dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang menyenangkan, maka itu adalah daripada Allah Taala. Dia hendaklah memuji Allah dan ceritakannya kepada orang lain” (Riwayat Bukhari) Menurut satu riwayat lain, menjelaskan bahawa larangan menceritakan mimpi baik itu kecuali kepada orang yang disukai atau orang yang paling dekat dengan kita. Hal ini pernah dialami oleh Nabi Yusuf a.s. Baginda bermimpi; sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Ketika itu ayahnya melarangnya untuk menceritakan kepada saudara-saudaranya yang lain, sebab hal itu boleh mengundang fitnah. Mimpi yang baik boleh dibahagikan kepada dua kategori: 

i. Mimpi para Nabi dan Rasul-rasul.

Mimpi mereka adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT Bukti kebenaran mimpi ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27). 

Mimpi bagi nabi dan para rasul berbeza dengan mimpi manusia biasa. Hal ini kerana mimpi pesuruh Allah itu adalah benar. Ia merupakan salah satu cara bagaimana wahyu diturunkan dari Allah Taala kepada mereka. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh telah diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Surah al-Soffat: 102)

Kalau ditelusuri sejarah para nabi dan rasul-rasul, bukan Nabi Ibrahim a.s. sahaja yang mendapat wahyu dari Allah Taala melalui mimpi Baginda, tetapi hampir semua para nabi, termasuklah Nabi Muhammad SAW Bahkan hadis-hadis Qudsi yang diterima nabi juga merupakan wahyu dari Allah Taala. 

ii. Mimpi orang soleh.

Mimpi yang baik akan datang kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Walau bagaimanapun, mimpi yang baik di sini bukanlah bermaksud mimpi yang berbentuk ramalan atau sengaja-sengaja direka-reka apatah lagi bentuknya seolah-olah melampaui qada’ dan qadar Allah SWT. Mimpi melihat Rasulullah SAW adalah ciri-ciri mimpi orang soleh. Dalam sebuah hadis Nabi SAW Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat mengambil bentukku.” (Riwayat Bukhari) 

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila telah hampir kiamat tidaklah mimpi seorang Muslim itu dusta, mimpi yang paling benar ialah mimpi orang yang paling benar perkataannya dan mimpi seorang Muslim merupakan satu daripada empat puluh enam bahagian daripada mimpi kenabian.” (Riwayat Muslim)

Justeru itu perlu diingat bahawa mimpi manusia biasa itu tidak mengandungi kebenaran yang mutlak. Kemungkinan tanda kebenarannya berlaku secara kebetulan sahaja, tetapi tidak menutup kemungkinan berlakunya banyak percanggahan yang mengelirukan. Apatah lagi bagi orang yang jahil atau yang memperkuda agama untuk kepentingan peribadi kononnya telah menerima wahyu melalui mimpinya, sehingga membawa kepada syirik dan terkeluar daripada agama Islam. Oleh itu kita yang jahil ini, dilarang mentakwilkan atau menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaiknya berfikirlah lebih rasional dan berpijak pada bumi yang nyata. 
2. Mimpi yang buruk.

Mimpi jenis kedua ini sering berlaku kepada mereka yang mengalami masalah gangguan sama ada daripada iblis dan syaitan ataupun terkena sihir. Selain itu makhluk-makhluk halus juga mampu mengganggu mimpi manusia dengan izin Allah Taala melalui penglibatan manusia itu sendiri. 

Prof. Madya Dr. Amran Kasimin, seorang pengamal perubatan Islam berpendapat, unsur kesedihan, susah hati atau apabila seseorang itu dalam keadaan marah akan menyebabkan pertahanan diri menjadi lemah. Apabila elemen dalaman ini lemah menyebabkan iblis dan syaitan yang sentiasa menunggu-nunggu peluang akan mudah menyerap masuk untuk mengganggu manusia melalui mimpinya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedangkan mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari)

Secara teorinya apabila kita tidur, jasad sahaja yang berada di atas perbaringan. Sedangkan akal manusia masih wujud, tetapi tidak aktif, tidak berfungsi dan di luar sedar. Ketika inilah, sekiranya kita tiada pertahanan diri menyebabkan makhluk-makhluk tersebut menyerang roh kita sehingga menyebabkan berlakunya gangguan-gangguan seperti mimpi-mimpi yang menakutkan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan daripada Safiyah binti Huyayn, Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut pembuluh darah” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Apabila ini berlaku, ia boleh mengganggu manusia pada bahagian otak, hati dan mengawal pergerakan manusia dengan izin Allah Taala. Dalam sebuah hadis nabi memberi petua; apabila seseorang itu bermimpi yang buruk-buruk, maka jangan diceritakan sama sekali kepada orang lain, termasuk orang yang paling dekat sekalipun.

3. Mimpi mainan tidur. 

Mimpi ketiga ini yang paling banyak berlaku kepada kita. Mimpi jenis ini disebabkan pengaruh menonton cerita-cerita ganas, mengerikan, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi mereka hasil daripada cerita yang ditonton ketika jaga.

Selain itu, mimpi yang melibatkan anggota fizikal juga adalah mainan tidur. Mimpi ini disebabkan oleh gangguan fikiran yang berpunca daripada penyakit tertentu seperti demam, ramuan ubat, dadah atau pengaruh dan khayalan nafsu yang kuat. Walaupun demikian apabila mimpi tersebut berlaku berulang kali, tiga atau empat kali dalam seminggu, ataupun hampir setiap hari, iaitu ketika hampir terlena atau sedang tidur, ia bukan lagi mainan tidur. Ia kemungkinan antara tanda-tanda seseorang itu mengalami gangguan ataupun terkena sihir. 

Dalam masyarakat Melayu Islam hari ini amalan-amalan khurafat yang berpunca daripada mimpi merupakan elemen utama dalam perubatan secara tradisional. Ada antara mereka yang mencari keuntungan segera di sebalik mimpi mereka yang sebenarnya boleh merosakkan akidah pengamal dan orang yang berubat dengannya. Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak untuk menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Amalan yang disabitkan dengan mimpi seperti yang diterangkan di atas tidak akan terlepas daripada amalan khurafat yang menyalahi akidah ini sekiranya:
  1. Meramal suatu peristiwa yang bakal terjadi berdasarkan mimpi.
Perbuatan meramal atau menilik nasib seperti ini adalah perbuatan khurafat. Ia bukanlah satu-satunya cara atau landasan untuk menentukan sesuatu keputusan sementelahan pula mimpi itu sendiri bukanlah pemutus bagi segala-galanya untuk dipercayai. Islam tidak mengajar umatnya supaya meramal mimpi untuk menentukan baik buruk atau ajal maut dalam kehidupan manusia. Manusia bukanlah tuhan yang boleh meramal apa yang berlaku. Perbuatan meramal atau menilik mimpi melalui tukang tilik seolah-olah amalan dan budaya jahiliah yang sangat ditegah oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah al-Maidah: 90) 

2. Meletakkan keyakinan atau bergantung harap terhadap petunjuk melalui mimpi.

Jangan meletakkan nasib kita pada mimpi yang menjadi mainan syaitan. Nasib seseorang Muslim itu tidak terletak kepada mimpinya. Mimpi adalah suatu yang sangat peribadi dan tidak mempunyai kuasa untuk merubah nasib seseorang. Sesungguhnya tempat bergantung harap, memohon perlindungan dan keselamatan hanyalah kepada Allah Taala. Perbuatan terlalu percaya kepada mimpi seolah-olah menafikan zat Allah yang Maha Kuasa. Hal ini boleh menyeret kita kepada perbuatan syirik kepada Allah SWT Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni (dosa) kalau Dia disekutukan dan Dia mengampunkan selainnya, sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang menyekutukan Allah, sesungguhnya dia telah sesat sejauh-jauhnya. (Surah al-Nisa’:116)
  1. Mencampuradukkan antara ibadah dengan amalan khurafat.
Segelintir masyarakat kita sama ada sedar atau tidak telah mencampuradukkan ibadah mereka dengan amalan khurafat. Tanpa disedari fenomena menilik jodoh melalui mimpi dengan perantaraan solat sunat istikharah, terutamanya bagi sesetengah wanita perlu diperbetulkan semula. 

Amalan solat istikharah bukan bertujuan untuk meramal jodoh. Solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi tidak pasti apakah membawa kebaikan ataupun tidak kepadanya. Maka disunatkan baginya untuk melakukan solat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk dalam beberapa urusan yang penting. Baginda bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib”

Malah apabila seseorang itu beriktikad bahawa mimpilah yang menjadi penentu kepada pasangan jodohnya maka dikhuatiri ia telah berbuat syirik kepada Allah SWT Islam melarang apa jua amalan baik yang bercampur aduk dengan kebatilan yang mengelirukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula pada hal kamu semua mengetahuinya” (Surah al-Baqarah: 42)
  1. Mimpi sebagai medium atau perantara yang menghubungkan antara manusia dengan makhluk lain atau alam ghaib.
Golongan ini biasanya melibatkan diri dengan perubatan tradisional misalnya, bomoh atau pawang yang terlibat dengan amalan semah, menyembah pantai, menurun dan sebagainya. Mereka ini kononnya didatangi oleh makhluk melalui mimpi meminta supaya disembelih binatang tertentu dan darahnya diberi makan kepada makhluk tersebut. 

Ada kalanya jenis mimpi, kononnya mereka didatangi oleh tokoh-tokoh agama atau manusia istimewa yang kononnya diberi keizinan oleh Allah SWT untuk menganugerahkan ijazah kemahiran atau ilmu-ilmu tertentu. Apabila keadaan seperti ini berlaku, orang yang didatangi mimpi itu merasakan yang ia mendapat arahan ataupun hidayah daripada Allah melalui mimpi. Sesetengah daripada mereka meyakini, bahawa yang datang itu ialah malaikat utusan Allah. Kepercayaan atau amalan melalui mimpi ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana mimpi bukanlah medium untuk memperoleh ilmu. Ilmu itu cahaya yang datang daripada sumber yang bersih dan suci. Manakala mimpi khurafat adalah lambang kepada kegelapan dan kesesatan.

Sesungguhnya beruntunglah bagi hamba-hamba pilihan Allah Taala yang diberi anugerah mimpi yang baik. Sebaik-baik mimpi ialah mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Akan datang suatu masa di kalangan kamu dapat bermimpi melihatku lebih disukai olehnya daripada keluarga dan hartanya” (Riwayat Bukhari) 

Manakala dalam usaha mengatasi gangguan tidur terutamanya mimpi-mimpi yang buruk akibat gangguan daripada iblis dan syaitan Rasulullah SAW telah mengajar doa berikut yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan dan daripada keburukan mimpi”

Setelah membaca doa di atas, orang yang terlibat hendaklah mengubah posisi tidurnya. Kalau semasa bermimpi dia tidur mengiring sebelah kiri, dia hendaklah mengiring sebelah kanan, begitulah sebaliknya. Adalah lebih mudah andainya dia beralih tempat tidur. Demikianlah kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW Sebuah hadis daripada Jabir, katanya Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disukai, dia hendaklah meludah ke sebelah kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah daripada syaitan tiga kali, dan ia hendaklah menukar posisi tidurnya”


Dapatkan info agama di facebook anda. Follow me (Niat kerana Allah)
Comments
1 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

1 comments:

kongsi artikel anda di sini dengan cara mudah dan cepat

Thank you if you like!!